Powered By Blogger

Thursday, July 1, 2010

At-Tauhid: pengertian rubbubiyyah dan Uluhiyyah

Assalamualaikum,



Innal hamdulillah, nahmaduhu wa nasta’eenuhu wa nastaghfiruh, na’udhu billahe min shurure anfusinaa wa sayyi’aate A’maalena:
Man yahdihillah, fahuwal muhtad,
Wa man yudhlil fa lan tajida lahu waliyyan murshidaa,
Wa ash-hadu an laa ilaaha illah wahdahu laa sharika lah,
Wa ash-hadu anna Muhammadan abduhu wa rasuluh,
Allahumma sale ala Muhammaden wa aale Muhammad wa sallama tasleeman kathira.


amma ba'du

Makna kalimah tauhid:

Kalimah tauhid ‘La ilaha illallah’ bermaksud tiada Tuhan selain Allah. Sungguhpun ringkas, kalimah ini mempunyai pengertian yang luas dan mendalam bagi kehidupan seorang muslim.Kalimah ini sebenarnya bererti ‘aku mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah Allah SWT sahaja manakala selain daripada-Nya sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Aku berikrar dengan hatiku, menyatakan dengan lidahku dan aku membuktikan dengan perbuatanku.’

Tauhid ar-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah:

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beriktiqad bahawa Allah SWT  bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan bagi sekelian alam manakala Tauhid al-Uluhiyyah pula bermaksud menjadikan Allah SWT sahaja sebagai sembahan.

Tauhid ar-Rububiyyah:

 Ar-Rububiyyah berasal dari kalimah ar-Rabb. Ar-Rabb (الرّبّ) bermaksud yang memiliki, yang menguasai dan yang mentadbir. Tauhid Rububiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai ar-Rabb, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang mencipta alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki kepada makhluk, yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menimpakan mudharat, yang mengabulkan doa dan permintaan hamba tatkala mereka terdesak, yang berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakinya, yang memberi dan menegah, di tanganNya segala kebaikan dan bagiNya penciptaan dan juga segala urusan, sebagaimana Ia berfirman tentang diriNya (yang bermaksud);

“Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (al-Fatihah: 3)

“Ingatlah, bagiNya (yakni Allah) jualah urusan penciptaan dan segala urusan. Maha tinggi Allah, Rabb bagi semesta alam”. Al-A’raf: 54)

“..maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, - Tuhan sekalian alam. Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. (al-Jathiyah: 36-37)

Termasuk juga dalam pengertian tauhid Rububiyyah ialah beriman dengan Qadarullah (yakni ketentuan dan ketetapan Allah) iaitu meyakini bahawa setiap yang berlaku di alam ini adalah terbit dari ilmu Allah, iradah (kehendak)Nya dan juga qudrah (kekuasaan)Nya.


Oleh itu, Tauhid ar-Rububiyyah ialah iktiqad atau keyakinan bahawa Allah SWT mempunyai sifat yang sempurna. Segala sesuatu yang ada di alam ini adalah kepunyaan Allah SWT. Dialah Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam). Dialah yang berkuasa, menjadi, menghidup dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, maka tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, maka tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya. Oleh itu hanya Allah sahaja ‘mutafarriq’ (berkuasa) untuk memberikan manfaat atau mudarat.


Firman Allah SWT yang bermaksud:


“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-An’am: 17)


Dengan itu, semua makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya serta berharap kepada-Nya. Apa yang dimiliki makhluk hanya bersifat sementara dan pinjaman. Oleh itu jika manusia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifat itu hanya sementara kerana segala sesuatu di alam ini adalah kepunyaan Allah.



Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah yang diakui masyarakat jahiliyyah arab:

1. Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam?" (Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya!" Oleh itu, katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?"

Surah yunus 31


2. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Yang menciptakannya ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

surah as-zukhruf 09


3. Tanyakanlah (wahai Muhammad) "Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?"
Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah". Katakanlah: "Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?"

surah Al-Mu'minun ayat 84-85

4. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?

surah as-zukhruf 87
 




Fitrah mengakui Rububiyyah Allah:


Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang dapat diterima akal. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah SWT.  Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah.” (Az-Zukhruf: 87)


“Dan jika kamu bertanyakan mereka: Siapakah pencipta langit dan bumi?  Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Az-Zukhruf: 9)


Tidak sukar untuk membuktikan hakikat Rububiyyah Allah SWT. Fitrah setiap insan menjadi buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah yang bersifat Maha Pencipta.




Al-Uluhiyyah:


Al-Uluhiyyah pula berasal dari kalimah al-Ilah. Al-Ilah (الإله) bermaksud yang berhak disembah di mana kepadanya ditujukan segala ibadah (pengabdian diri). Jadi, Tauhid al-Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai Ilah, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan diqasadkan segala ibadah, tidak harus ditunaikan ibadah melainkan kepadaNya sahaja dan tidak harus mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun di langit mahupun di bumi. Firman Allah (bermaksud);

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus”. (al-Bayyinah: 5)

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya shalatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (al-An’am: 162)

Tauhid al-Uluhiyyah (yakni mengesakan Allah sebabai Ilah) adalah kemuncak Tauhid. Tidak sah iman kepada Allah melainkan dengan kukuhnya tauhid ini di dalam hati di samping tauhid pertama tadi (yakni tauhid Rububiyyah iaitu mengakui Allah sebagai Rabb). Tauhid inilah yang menjadi penekanan para Nabi dan Rasul di mana mereka diutuskan bukan sekadar untuk memaklumkan kepada manusia adanya Allah, tetapi lebih besar dari itu untuk mengajak manusia menyembah Allah dan meninggalkan segala perbuatan yang menyengutukanNya. Allah menjelaskan matlamat pengutusan semua Rasul di mana Ia berfirman (yang bermaksud);

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): "Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”. (an-Nahl: 36)
(Menurut ulama’ tafsir; yang dimaksudkan dengan Taghut dalam ayat di atas ialah segala yang disembah selain dari Allah sama ada berhala-berhala, Iblis, Syaitan dan sebagainya. (Lihat tafsir al-Qurthubi)).




Tauhid al-Rububiyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyah:


Seperti yang telah dinyatakan, Tauhid al-Rububiyah ialah mengakui keesaan Allah sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam  Rububiyah.


Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah dari segi Rububiyah dengan segala pengertiannya, akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyah iaitu mengesakan Allah dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah sahaja yang layak disembah, makanala selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa bentuk sekalipun.


Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy  agar mengakui Tauhid al-Rububiyah. Apabila mereka menerima Tauhid al-Rububiyah dan 


bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan Tauhid al-Uluhiyah. Hakikat ini jelas dan tidak boleh dicuai atau diselindungkan lagi. 


Firman Allah SWT yang bermaksud:


“Apakah mereka mempersekutukan    Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apa pun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia.” (Al-A’raf: 191)


“Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran?” (An-Nahl: 17)


“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.” (Al-Hajj: 73)


Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika seekor lalat mengambil atau merampas sesuatu, mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ternyata yang meminta bersifat lemah dan yang dipinta juga bersifat lemah. Oleh itu akal yang sejahtera tidak akan menerima penyembahan selain daripada Allah. Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan daif belaka.


Al-Quran menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain daripada Allah tidak memiliki sebutir atom pun sama ada di bumi mahupun di langit. Malah sembahan mereka sama sekali tidak menyamai Allah walaupun sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di langit. Allah tidak mempunyai apa-apa keperluan dengan tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah. Jika mereka menyedari hakikat ini, maka mereka akan rasa kewajipan untuk beribadat dengan ikhlas kepada Allah semata-mata. 


Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak memiliki satu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya.” (Saba’: 22)


Al-Quran menceritakan bahawa orang-orang musyrikin sebenarnya mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyah Allah seperti Allah adalah Pemilik langit serta bumi dan Pengurus kejadian-kejadian  di langit serta di bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, maka mereka sepatutnya beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:


“Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?


“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertakwa?


“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?


“Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta.” (Al-Mu’minun: 84-90)




Demikianlah keterangan ringkas tentang Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah yang dapat saya berikan dalam ruangan yang ringkas ini. Harapan saya agar saudara dapat meneroka dengan lebih mendalam ilmu tentang kedua-dua jenis tauhid ini. Keimanan kita kepada Allah tidak akan sempurna melainkan dengan kita memahami dan menghayati dengan sempurna kedua-dua Tauhid tersebut di samping satu lagi Tauhid iaitu Tauhid al-Asma’ Wa as-Sifat iaitu mengesakan Allah dengan meyakini sekelian nama-nama dan sifat-sifatNya yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment